LANGKAH BERJAGA-JAGA DI TANAH SUCI: Jutaan jemaah yang bakal membanjiri Makkah dan Madinah semasa
musim haji bulan depan dikhuatiri akan memudahkan penularan virus baru
seakan Sars. Oleh itu Arab Saudi telah mengambil langkah pencegahan,
termasuk pemantauan di pintu masuk darat, laut dan udara bagi mengawasi
jemaah dan mengambil sampel jika mereka menunjukkan simptom jangkitan,
serta menasihat jemaah memakai pelitup semasa di kawasan ramai orang,
sebagaimana dilakukan semasa wabak Sars dulu.
PARA saintis kini berdepan dengan misteri perubatan melibatkan penemuan virus baru seakan-akan Sars di Arab Saudi.
Sejauh ini, dua pesakit dikenal pasti dijangkiti virus baru dari jenis
koronavirus itu. Seorang daripada mereka meninggal dunia Jun lalu.
Pesakit berusia 60 tahun itu berasal dari Arab Saudi.
Yang terbaru, seorang pesakit lelaki dari Qatar berusia 49 tahun
dipindahkan ke Britain untuk mendapatkan rawatan bagi jangkitan virus
baru itu pada 11 September lalu.
Beliau, yang dikatakan telah melawat Arab Saudi, kini dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Virus baru itu daripada keluarga virus yang menyebabkan selesema biasa
dan penyakit Sars, yang membunuh sekitar 800 orang, kebanyakannya di
Asia, dalam wabak yang berlaku pada 2002.
Buat masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menyarankan sebarang sekatan perjalanan, sedang sumber jangkitan belum diketahui.
Namun, keadaan itu masih menimbulkan kebimbangan kerana ia berlaku
menjelang musim haji, apabila berjuta Muslim dari seluruh dunia
berkumpul di Arab Saudi.
Simptom virus baru
Virus baru ini dikenal pasti dan dilaporkan kali pertama oleh Dr Ali Mohamed Zaki dari Hospital Dr Soliman Fakeeh di Arab Saudi.
Dr Zaki dikatakan telah mengambil sampel virus dari paru-paru pesakit Arab Saudi itu sebelum beliau meninggal dunia.
Apabila mendapati ia satu virus baru, Dr Zaki menghantar sampel itu
kepada penyelidik virus koronavirus terkemuka, Dr Ron Fouchier, di Pusat
Perubatan Universiti Erasmus di Rotterdam, Belanda, bagi disahkan.
Para penyelidik di Britain turut menghantar sampel virus dari pesakit dari Qatar ke Belanda untuk disahkan.
Dr Fouchier mendapati virus dari dua pesakit itu 99.5 peratus serupa, lapor CNN.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagaimanapun, tidak percaya kes terbaru itu ada kaitan di antara satu sama lain.
Di peringkat molekular, virus baru ini didapati menyerupai virus Sars,
yang dikesan kali pertama di wilayah Guangdong, China, pada 2002 dan
menjejas lebih 30 negara di serata dunia, termasuk Singapura.
Jurucakap WHO, Encik Gregory Hartl, ditukil oleh agensi berita AFP
sebagai berkata virus baru itu mempunyai ciri berbeza daripada virus
Sars.
Pesakit yang dijangkiti Sars mengalami demam, batuk dan masalah
pneumonia teruk, sementara pesakit virus baru ini mengalami tiga
penyakit itu serta kerosakan ginjal.
Selain itu, orang yang berhubungan rapat dengan pesakit virus baru itu,
seperti anggota keluarga dan kakitangan perubatan, didapati tidak
dijangkiti virus tersebut.
Ini berbeza daraipada virus Sars yang mudah dijangkiti melalui udara -
apabila orang yang membawa virus itu batuk atau bersin ke udara serta
terpegang cecair daripada pesakit yang telah terkena virus itu.
"Tiada bukti sejauh ini bahawa virus ini mudah dijangkiti," kata Dr
William Schaffner, pengerusi Jabatan Perubatan Pencegahan di Pusat
Perubatan Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat.
Seorang pakar selesema dari Universiti Minnesota, Amerika, Encik Michael
Osterholm, ditukil oleh agensi berita AP sebagai berkata: "Kita tidak
tahu sama ada ini akan menjadi satu lagi wabak seperti Sars atau virus
ini akan lenyap begitu saja."
Buat masa ini, virus baru itu masih dipantau para saintis memandangkan banyak yang belum diketahui mengenainya.
"Kita juga tidak tahu apakah virus ini boleh menyebabkan jangkitan
kurang serius juga. Kita tidak tahu sama ada ia melibatkan hanya dua kes
atau dua daripada dua juta kes (yang lainnya jangkitan kurang serius),"
kata Encik Hartl.
WHO lantas telah memberi arahan kepada doktor di serata dunia agar lebih awas bagi mengesan jangkitan virus baru ini.
Punca jangkitan
Setakat ini, doktor mengesahkan pesakit menjangkiti virus baru itu melalui kontak dengan haiwan.
Siasatan awal menunjukkan virus serupa itu turut dibawa oleh kelawar.
Tiada bukti menunjukkan virus itu menular dari manusia ke manusia, kata Encik Hartl.
Pesakit dari Qatar itu dilaporkan ada kontak dekat dengan unta dan kambing semasa berada di Arab Saudi.
Pada 2002, punca jangkitan Sars dikaitkan dengan musang.
Virus baru ini dikatakan mungkin hasil mutasi virus sedia ada. Ia
mungkin jangkitan yang bermula di kalangan haiwan dan kini telah
berpindah kepada manusia.
Para doktor tidak tahu apa rawatan terbaik bagi mereka yang dijangkiti virus baru ini.
Mereka yang mengalami simptom serius perlu dimasukkan ke unit jagaan rapi di hospital bagi membantu mereka bernafas.
Sejauh ini, tiada vaksin bagi mengubat virus baru ini. Namun, virus
jenis koronavirus biasanya tidak dapat bertahan lama di udara.
Di luar tubuh manusia, ia biasanya hanya boleh hidup selama sehari dan mudah dilenyapkan menggunakan sabun pencuci biasa.
Langkah pencegahan
Sekatan perjalanan belum dikeluarkan oleh WHO.
Mereka yang khuatir dijangkiti boleh melindungi diri dengan mengamalkan
kebersihan dengan kerap mencuci tangan dan membersihkan permukaan yang
boleh membawa virus.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata musim haji yang bermula bulan depan
mungkin memberi lebih banyak peluang bagi virus itu merebak.
Tahun lalu, sekitar dua juta jemaah dari 160 negara mengerjakan ibadah
haji. Mereka tiba melalui pesawat, kapal dan kenderaan darat.
Timbalan Menteri bagi Kesihatan Awam Arab Saudi, Encik Ziad Memish,
berkata kepada agensi berita Reuters: "Kementerian Kesihatan telah
mengambil langkah pencegahan bagi menangani kedatangan lebih dua juta
jemaah haji.
"Langkah-langkah ini termasuk pemantauan pintu masuk darat, laut dan
udara untuk mengawasi jemaah yang datang dan mengambil sampel jika
mereka menunjukkan simptom jangkitan."
Pada 2009, Arab Saudi memasang kamera pengimbas haba bagi memeriksa jemaah haji dari negara-negara yang pernah dilanda wabak flu H1N1.
Bagaimanapun, kamera pengimbas haba itu tidak akan digunakan tahun ini, kata Encik Memish.
Jemaah dinasihatkan supaya memastikan tangan mereka sentiasa bersih dan
memakai pelitup serta menukarnya apabila berada di tempat ramai orang.
Pada masa sama, jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Encik Khaled
Al-Mirghalani, menegaskan jangkitan virus baru itu merupakan kes
terpencil.
"Tiada perubahan bagi syarat- syarat yang dikenakan oleh Kementerian
Kesihatan kepada jemaah," katanya, sebagaimana ditukil agensi berita
AFP.
Beliau menambah bahawa tahun ini kerajaan Arab Saudi menumpukan
perhatian pada pencegahan penularan demam kuning, meningitis, selesema
biasa, polio dan keracunan makanan di kalangan jemaah.
Jemaah disyaratkan supaya mendapatkan suntikan vaksin yang ditetapkan
sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tiba di Madinah dan Makkah.
Menurut Encik Mirghalani, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan vaksin wajib berdasarkan penyakit yang dilaporkan di negara masing- masing.
Bagi jemaah yang telah menjejakkan kaki di tanah suci, hidup atau mati tentunya diserahkan sepenuhnya kepada Tuhan.
"Bagaimanapun, orang ramai harus sedar tentang kewujudannya (virus baru)
dan mereka harus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan
jangkitan," kata seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan Arab Saudi
yang ditukil Arab News.














"Saya
dan Presiden SBY telah membuat keputusan bersama supaya penghantaran
tenaga kerja (sektor tidak formal) dari Indonesia ke Malaysia akan
disambung semula mulai 1 Dis yang akan datang ini.
Mesyuarat
dua hala itu adalah susulan kepada pertemuan kedua-dua pemimpin itu di
Perundingan Tahunan yang diadakan di Lombok, Nusa Tenggara Barat, bulan
lalu di mana kedua-dua bersetuju membuat keputusan bersama di Bali
berhubung isu itu.
Bagaimanapun
penerapan makanisme yang sesuai bagi pelaksanaan protokol itu berhubung
perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan mereka oleh
Pasukan Petugas Khas Bersama, menyebabkan penarikan balik moratorium itu
tertangguh sehingga sekarang.

Semalam,
beberapa ahli parlimen BN membidas Fernandes berhubung pertukaran
saham AirAsia-MAS, dan menuduhnya menipu syarikat penerbangan negara
itu. Seorang daripada mereka turut melabelkan beliau sebagai "pencuri".
Timbalan
Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong kelmarin dilaporkan berharap guru
di empat negeri terlibat - Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak - tidak
risau kerana kerajaan hanya membuat percubaan.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee (kanan)
berkata, lebih baik kerajaan melaksanakan sistem waktu kerja guru
seperti pekerja biasa antara jam 8 pagi hingga 5 petang, dengan lima
hari bekerja dan dua hari cuti.






